Giliran Mokhzani pula disiasat SPRM

Giliran seorang lagi anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Mohkzani, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Mokhzani dilapor hadir ke ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 11 pagi tadi, dipercayai berkaitan notis pengisytiharan harta.

Ahli perniagaan itu disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Minggu lalu, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, beberapa pihak akan menerima notis berkenaan untuk siasatan lanjut SPRM.

Pada 23 Januari lalu, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen kerana gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta.

Toh Puan Na’imah Khalid didakwa memberi satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November lalu.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

SPRM turut mengesahkan telah mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Daim.