Hanya kerana sokong PM, Pas anggap ‘akidah’ perjuangan berbeza
Oleh AHMAD MURSI
“Pemimpin datang dan pergi, namun akidah perjuangan mesti diteruskan.”
Itu kenyataan rasmi ADUN Pas Sungai Burong, Zamri Mantop apabila ahli Parlimen Bersatu Tanjung Karang isytihar menyokong PMX.
Dulu saya tidak rasa frasa ini luar biasa kerana telah didoktrin oleh Pas sejak muda.
Tapi kini saya mula faham, ini penyakit biasa Khawarij yang jadikan akidah sebagai senjata politik.
Hanya kerana perbezaan pendirian politik beri sokongan kepada PMX sudah dianggap akidahnya telah digadaikan.
Berpolitik mengikut nilai agama (tolak rasuah, tidak mencaci dan lain-lain) itu hal terpuji, tetapi melihat perbezaan politik sebagai perbezaan akidah itu gejala takfiri.
Jika ustaz muda seperti Zamri Mantop punyai fikrah seperti itu, bayangkanlah bagaimana hal ini berakar umbi dalam Pas dan mustahil lagi untuk diubah.
Saya percaya, bila nanti Bersatu bercerai dengan Pas, mereka juga akan dituduh mencuaikan akidah. Inilah sebabnya Muhyiddin dulunya gelarkan Pas ‘Parti Ajaran Sesat’.
Pas sentiasa memandang persaingan politik pilihan raya sebagai ‘pertempuran akidah’ dan bukan lagi berkenaan governance yang jadi objektif utama demokrasi.
Masyarakat di bawah yang dihasut dengan doktrin ini mengakibatkan perpecahan kerana memandang penyokong parti lain ‘tidak Islam’ seperti mereka.
Gaya politik ini menyebabkan wakil rakyat Pas kini kurang berkebolehan mengkritik polisi kerajaan kerana segala-galanya dikaitkan dengan isu akidah dan perkauman.
Presiden Pas biasanya guna satu ‘pil ajaib’: “Ini salah DAP”.
Maka otak ahli-ahli Pas menjadi tumpul untuk menganalisa dan mengkritik isu polisi dengan cara yang sepatutnya.
Â