ICJ perintah Israel ambil tindakan henti genosid di Gaza

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini, memerintahkan Israel mengambil langkah pencegahan dan berhenti mengapi-apikan genosid secara terang-terangan dalam peperangan di Gaza.

“Israel perlu mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah semua tindakan termaktub dalam skop Artikel II Konvensyen Genosid,” katanya.

Majoriti panel 17 hakim Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam keputusannya bersetuju mengambil langkah segera.

Ini termasuklah merangkumi sebahagian besar daripada permintaan Afrika Selatan termasuk menghentikan tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

Mahkamah juga memerintahkan Israel mengelak daripada melakukan sebarang tindakan termaktub di bawah konvensyen genosid, selain memastikan pasukannya tidak melakukan sebarang tindakan genosid di Gaza.

Dalam masa sama, ICJ memutuskan Israel mesti membenarkan bantuan kemanusiaan oleh mana-mana pihak ke Gaza.

Pada 12 Januari lalu, ICJ membuka perbicaraan kes yang dibawa Afrika Selatan iaitu menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza di mana ia mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Dalam pemfailan mahkamahnya, Afrika Selatan menyebut kegagalan Israel untuk menyediakan makanan, air, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan penting lain kepada kawasan Palestin.