Pemegang ijazah Universiti Harvard CEO baharu KWSP

Ahmad Zulqarnain Onn dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuatkuasa 19 Februari ini.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Harvard, menurut kenyataan KWSP.

Ahmad Zulqarnain sebelum ini menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan.

Ahli korporat itu menggantikan Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang telah dilantik sebagai Menteri Kewangan II pada 12 Disember lalu.

Mempunyai pengalaman korporat yang luas, Ahmad Zulqarnain sebelum ini telah memegang beberapa jawatan penting dalam beberapa institusi.

Antaranya, seperti Danajamin Nasional Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Khazanah Nasional Berhad sebagai Timbalan Pengarah Urusan.

Zulqarnain dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada Julai 2020.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Senator Datuk Seri Amir Hamzah atas khidmat beliau dalam melakar hala tuju kejayaan KWSP.

“Pada masa yang sama, kami ingin mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zulqarnain atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu.

“Dengan pengalaman korporatnya yang luas, kepimpinan beliau yang dinamik bakal memacu KWSP ke tahap baharu,” katanya.

Ahmad Badri menambah bahawa seluruh pasukan KWSP akan memastikan peralihan yang lancar dan meletakkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan dan hala tuju strategik Ahmad Zulqarnain dalam memenuhi misi KWSP untuk melindungi masa depan persaraan dan kesejahteraan 15.9 juta ahlinya.