Selepas lebih 25,900 dibunuh, keputusan kes genosid Israel diumum hari ini
Selepas pengganas Israel membunuh lebih 25,900 rakyat Palestin, pengumuman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini amat dinantikan.
ICJ akan mengumumkan keputusannya berhubung permintaan langkah-langkah sementara yang dikemukakan Afrika Selatan dalam kes genosid Israel, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Kes tersebut membabitkan Pelaksanaan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid di Semenanjung Gaza (Afrika Selatan lawan Israel), menurut mahkamah menerusi satu kenyataan media.
Sidang umum akan berlangsung pada 1 petang di Peace Palace di The Hague, Belanda dan perintah mahkamah akan dibacakan.
Pada 29 Disember lalu, Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel, menuduhnya melakukan “genosid” ketika pencerobohan ke atas Gaza.
Perbicaraan mengenai kes itu telah berlangsung selama dua hari bermula 11 Januari lalu.
Dalam hal berkaitan, Israel terus angkuh mengganas meneruskan pengeboman mengakibatkan 200 rakyat Palestin syahid dalam tempoh 24 jam lalu.
Genosid di bumi Palestin yang dipimpin pembunuh nombor satu dunia, Benjamin Netanyahu menyaksikan lebih 25,900 rakyat Palestin terkorban.
Seramai 64,110 orang pula dilaporkan cedera di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober manakala ribuan lagi hilang dan terbunuh di bawah runtuhan bangunan yang dibom penjajah.