ABIM gesa gencatan senjata serta-merta di Gaza
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengulangi gesaan agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta di Gaza.
Menerusi kenyataan malam tadi, pihaknya memuji keputusan tegas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menyediakan langkah-langkah sementara bagi menangani isu genosid yang sedang berlaku di Gaza.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata tindakan tegas itu mencerminkan komitmen majoriti warga dunia terhadap keadilan, hak asasi manusia dan kemanusiaan.
Semua langkah ini adalah penting ke arah menoktahkan penderitaan di Gaza dengan serta-merta dan membuka laluan ke arah keamanan yang berkekalan di wilayah itu.
“ABIM seterusnya menekankan kepentingan kritikan semua pihak terutama Israel dan sekutu-sekutunya iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom serta pihak-pihak lain yang memungkinkan perbuatan genosid, untuk mematuhi keputusan ICJ dan untuk Majlis Keselamatan memastikan pematuhan segera terhadap langkah-langkah sementara yang digariskan.
“Kita berharap keputusan ini akan menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah dan selamat untuk penduduk Gaza, dan kami mengulangi gesaan agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta di Gaza,” tegas Ahmad Fahmi.
Semalam, ICJ mengarahkan Israel untuk mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Presiden ICJ, Hakim Joan Donoghue berkata, ICJ menuntut Israel, antara lain, agar cuba membendung kematian dan kerosakan di Semenanjung Gaza tetapi tidak mengarahkan gencatan senjata.
ICJ turut mengarahkan Israel agar melaporkan perkembangan kepada mahkamah dalam masa satu bulan.
“Israel hendaklah, mengikut kewajipan di bawah konvensyen mengenai pencegahan dan hukuman jenayah pembunuhan beramai-ramai, berhubung dengan rakyat Palestin di Gaza, mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk menghalang pelakuan semua tindakan dalam skop Perkara 2 Konvensyen.
“Ini khususnya, A, membunuh, B, menyebabkan kecederaan badan atau mental yang serius, C, menyebabkan kecederaan fizikal atau mental yang serius, C, dengan sengaja menyebabkan keadaan hidup yang dikira untuk membawa kemusnahan fizikalnya secara keseluruhan atau sebahagian dan D, mengenakan langkah-langkah yang bertujuan untuk mencegah kelahiran,” katanya.
Sementara itu, laman X Times of Gaza pada pukul 7.12 malam tadi melaporkan seramai 183 rakyat Palestin terbunuh dan 377 lagi cedera sepanjang tempoh 24 jam.
Jumlah korban terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 26,083 orang.
Walaupun ICJ memutuskan gencatan senjata dan menghentikan operasi ketenteraan tetapi tentera Israel terus meÂlakukan pertempuran besar-besaran di Khan Younis, bandar utama di selatan Gaza yang terkepung.
Keganasan Israel tidak terbendung lagi selepas lebih 100 hari membunuh apabila turut menembak ramai rakyat Palestin yang sedang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan serta yang berada di tengah kem pelarian Al-Nusseirat Gaza.
Â