Terkejut tahu gaji dan elaun ahli politik, hadir Parlimen je dapat RM400 sehari

Setiap tahun ahli-ahli Parlimen diberi sejumlah gaji dan elaun untuk mereka menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Peruntukan ini termasuklah gaji sebagai Ahli Parlimen, kehadiran ke sidang Dewan Rakyat, elaun ke mesyuarat dan banyak lagi yang jika dikira boleh mencecah hampir RM40,000.

Tidak hanya itu, mereka juga ketika ini layak menikmati wang pencen jika tempoh berkhidmat mencapai 36 bulan atau tiga tahun.

Artikel kali ini akan menyenaraikan gaji dan elaun ahli Parlimen menurut Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980.

Berikut adalah gaji dan senarai elaun yang mereka layak terima:

Gaji: RM16,000 sebulan

Kehadiran mesyuarat Parlimen: RM400 sehari

Kehadiran mesyuarat, bengkel & seminar agensi kerajaan: RM300 sehari

Elaun keraian: RM2,500 sebulan

Bayaran istimewa untuk MP bukan dalam pentadbiran: RM1,500 sebulan

Elaun tetap perjalanan: RM1,500 sebulan

Elaun bahan api: RM1,500 sebulan

Elaun tol: RM300 sebulan

Elaun pemandu: RM1,500 sebulan

Pembelian telefon bimbit: Hingga RM2,000 setiap dua tahun

Elaun bil telefon: RM900 sebulan

Pembelian komputer: Hingga RM6,000

Bantuan bayaran pakaian black tie : Hingga RM1,500 setiap tiga tahun

Elaun pakaian rasmi istiadat: Hingga RM1,500

Elaun pakaian sejuk

Lesen kenderaan percuma

Lawatan rasmi – Penerbangan kelas eksekutif

Lawatan rasmi – Penerbangan kereta api kelas pertama

Tugasan dalam negara melebihi 32 kilometer dari rumah: Elaun hotel sehingga RM400 semalam

Bayaran harian semasa perjalanan perniagaan: Dalam negara – RM100 semalam, Luar Negara – RM170 semalam

Elaun makan minum bertugas rasmi di luar negara: RM340 semalam

Wad kelas satu bilik perseorangan di hospital kerajaan: Percuma

MP layak pencen selepas kerja 36 bulan

MP juga layak mendapat pencen selepas menamatkan 36 bulan perkhidmatan yang boleh diambil kira dan mencapai usia 50 tahun.

Sementara itu, ADUN pula dilaporkan menerima elaun bulanan purata antara RM6,000 dan RM15,000 seorang.

ADUN dari Sarawak mencatatkan gaji bulanan tertinggi sehingga RM15,000, diikuti Melaka (RM12,000), Selangor dan Pulau Pinang masing-masing RM11,500 manakala Kedah, Terengganu dan Pahang masing-masing RM11,000.

ADUN Perak dan Perlis pula menerima gaji terendah RM6,000 sebulan.

Penyesuaian gaji terbaharu untuk ADUN berdasarkan kenaikan pada 2013, kecuali Melaka (2023), Sabah (2022), Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, dan Pahang (2015), serta Negeri Sembilan (2014).

Bagi MP dan ADUN yang turut memegang jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mereka menerima wang tambahan antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan.

Kabinet sebelum ini dilaporkan bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen dan pengumuman mengenai tempoh serta tarikh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas tetapi golongan baharu yang dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada semalam bersetuju agar pencen ahli politik dimansuhkan seiring dengan pelaksanaan skim tidak berpencen penjawat awam baharu.