PN harus terima hakikat, mulakan rundingan
Perikatan Nasional (PN) digesa untuk menerima hakikat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani akan kekal hingga habis penggal.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pucuk pimpinan PN perlu menjadi pembangkang yang bertanggungjawab.
“Jangan ada percubaan untuk ganggu-gugat Kerajaan Madani ini dengan langkah-langkah politik.
“Letak tepi ego, letak tepi angan-angan mahu ambil alih Kerajaan, dan mulakan rundingan dengan Kerajaan mengenai peruntukan Ahli Parlimen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pemimpin DAP berkenaan turut mengimbas Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada September 2021.
“Kita pernah ada ‘precedent’ sebelum ini dengan Memorandum Kesefahaman (MOU) di antara PH dan Kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri.
“Kalau ikut MoU tersebut, tidak perlu nyatakan sokongan kepada kerajaan secara jelas pun, hanya berjanji untuk tidak menyokong apa-apa tindakan menumbangkan kerajaan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Syahredzan berpendapat sama seperti Akta Lompat Parti dahulu, rundingan yang diadakan juga boleh memasukkan sekali penggubalan akta untuk menginstitusikan peruntukan Ahli Parlimen sebagai salah satu syarat.
Hal ini, jelasnya, supaya perkara tersebut tidak lagi terletak pada budi bicara Perdana Menteri pada masa hadapan.
“Marilah kita sama-sama memastikan negara ini berada di landasan yang betul, sebagai kerajaan dan pembangkang,” tambahnya lagi.