Rolls Royce antara kereta mewah Datuk Seri, bekas setpol yang disita SPRM
Rolls Royce Ghost V12 Ewb antara kenderaan mewah milik bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kenderaan lain termasuk Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L.
Kenderaan mewah terbabit disita susulan siasatan kes rasuah dalam tender kerajaan.
Menurut SPRM, kenderaan mewah terbabit dipercayai hasil daripada sumber rasuah yang telah diperoleh suspek bersangkutan dengan tender di sebuah kementerian.
Dalam pada itu, SPRM mendapat kebenaran untuk menyambung reman bekas setiausaha politik dan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri itu berhubung kes meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.
Menerusi kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan perintah reman selama tiga hari itu bermula esok hingga 30 Januari ini membabitkan kedua-dua suspek berusia sekitar 40-an.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, kedua-dua suspek direman empat hari bermula 24 Januari lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.
Mereka dipercayai menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian pada 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.