Anwar beri jaminan bantuan rakyat akan disalurkan
Kerajaan akan beri bantuan kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup yang meningkat, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara kaedah yang dikenalpasti jualan barangan keperluan pada harga murah.
“Insya Allah, program jualan barangan keperluan ikan, ayam, beras dan sebagainya dengan harga murah seperti hari ini, akan diperluas ke seluruh negara kelak,” tulis Anwar di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun itu tiba di Perak dan terus bertemu masyarakat setempat di Program Jualan Ikan, Udang dan Sotong Murah parlimen berkenaan.
Beliau berkata, peluang tersebut digunakan untuk beramah mesra sambil mendengar keluh-kesah masyarakat berkaitan kehidupan seharian termasuk peningkatan kos sara hidup.
Selepas itu, Anwar meninjau pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu bantuan subsidi bersasar di Pasaraya Mydin Meru Raya, Ipoh.
Beliau turut sempat menyemak senarai penerima SARA serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di pasar raya berkenaan.
Program subsidi bersasar SARA ditambah baik oleh kerajaan bermula 22 Januari lalu dengan peruntukan RM700 juta iaitu lonjakan lebih lima kali ganda berbanding perbelanjaan RM130 juta pada tahun lepas yang diagihkan secara berperingkat, dengan pelbagai penambahbaikan lain termasuk diperluaskan kepada 210,000 penerima.