‘Kita perangi politik PN’
Pengerusi Pakatan Harapan Perak Senator Datuk Dr Mujahid Yusof telah mengisytiharkan perang ke atas blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) yang mengamalkan politik takfiri dan Khawarij.
“PN akan guna satu modal – perkauman sempit dan sentimen agama sempit. Mereka sanggup guna politik takfiri dan sanggup gadai ayat Quran. Kita isytiharkan perang ke atas Khawarij PN yang akan menyesatkan kita.”
Mereka sanggup membudayakan politik takfiri untuk melarikan rakyat dari cita-cita perpaduan ini, mereka sanggup menggadaikan ayat-ayat Allah untuk mewajarkan ‘kesucian mereka dari kelompok yang lain’ mereka umpama kelompok Khawarij yang pandai berhujjah tetapi sekadar memenuhi tindakan jahat mereka.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang berlangsung di Ipoh, Perak.
“Ayuh kita cetuskan gelombang perpaduan di akar umbi. Bersiapsiaga tangkis pembohongan PN dan Pas.”
Ini adalah konvensyen perpaduan peringkat negeri pertama yang diadakan.
Menurut beliau sentimen perkauman dan agama sempit, amalan takfiri dan Khawarij akan digunakan oleh pihak lawan untuk memecahkan perpaduan di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dan juga rakyat.
Terdahulu beliau mengingatkan peserta konvensyen bahawa Perak telah menjuarai konsep kerajaan perpaduan sebelum ia diamalkan oleh kerajaan persekutuan.
“21 November ialah tarikh keramat negeri Perak. 24 November ialah tarikh keramat kerajaan persekutuan.”
Beliau berkata begitu, merujuk kepada kesediaan PH membantu membentuk kerajaan negeri pada 21 November.
Mujahid turut mengingatkan peserta konvensyen bahawa perpaduan yang ingin dicapai ini memerlukan pengorbanan.
“Perpaduan memerlukan pengorbanan. Pengorbanan ego dan kelompokan.”
Beliau turut memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan akan mendokong visi Menteri Besar Perak Datuk Sharaani Mohamad – Perak Sejahtera.