TMJ Pemangku Sultan Johor mulai hari ini

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor mulai hari ini.

Menurut Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik Tunku Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor.

“Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim dengan nasihat Jumaah Majlis Diraja dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan Johor bermula hari ini.

“Pelantikan ini hendaklah berterusan untuk selama Sultan Johor menjalankan kerja-kerja Yang di-Pertuan Agong.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berkenaan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atau DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor,” katanya dalam kenyataan.

Istiadat pelantikan itu berlangsung pada jam 10 pagi di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene di sini, di hadapan Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim akan menjadi Yang Dipertuan Agong pada 31 Januari.