Bersatu mahu pinda perlembagaan parti

Selepas enam ahli parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu mahu meminda perlembagaan parti agar kejadian sebegitu tidak lagi berulang.

Setiausaha Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata perkara tersebut diputuskan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi.

“Kita juga bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat yang mengkhianati agar kerusi mereka dikosongkan. Bersatu bersedia berdepan pilihan raya kecil,” tambah beliau.

Setakat ini ahli parlimen Bersatu yang menyokong pimpinan Anwar ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tg Karang).