Harap peningkatan STR ringankan beban rakyat

Peningkatan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang ketara pada tahun ini, diharap dapat meringankan beban rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran maksimum STR bagi isi rumah pada tahun ini ditingkatkan lebih 66 peratus kepada RM500, berbanding RM300 tahun lalu.

“Saya akur bahawa kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.

“Kerajaan Madani beriltizam untuk memberi rakyat sejagat kehidupan yang bermaruah,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Dalam hantaran sama, beliau turut menyifatkan kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi Madani.

“Saya berharap penerima-penerima STR Fasa 1 ini dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan yang mula disalurkan pada hari ini,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan penerima daripada kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500 melalui pembayaran STR Fasa 1, manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 layak menerima RM100 hingga RM300.

Penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.