Lima jalan utama ditutup sempena ketibaan Agong
Sempena istiadat ketibaan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Iskandar, Rabu ini sebanyak lima jalan di ibu negara akan ditutup secara berperingkat mulai jam 9.30 pagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, memaklumkan laluan yang ditutup adalah Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Damansara dan Jalan Travers.
”Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang juga akan melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE); Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Sultan Abdul Halim,” katanya, lapor BH.
Beliau memaklumkan mengenai perkara itu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Allaudeen, semua laluan itu akan ditutup sementara dan dibuka semula secara berperingkat selepas istiadat selesai.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak melalui jalan tersebut dengan penutupan penuh bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan esok.
Â