Air Empangan Air Itam susut 33.7 peratus

Empangan Air Itam yang merekodkan penyusutan sehingga paras 33.7 peratus berpunca daripada musim panas dan kering yang telah bermula pada masa ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Ir K. Pathmanathan, penyusutan paras air Empangan Air Itam juga disebabkan air dari empangan itu turut digunakan untuk menampung keperluan pengguna di bahagian pulau selepas paip bawah air di dasar Sungai Perai pecah awal bulan ini.

“Penyusutan air di empangan Air Itam adalah disebabkan musim kering dan penggunaan air tinggi, namun penyusutannya agak mendadak.

“Ini kerana empangan Air Itam ini kita gunakan airnya untuk tampung bekalan di sebelah pulau selepas kejadian Sungai Perai,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Secara perbandingan, empangan Teluk Bahang yang mencatat paras 88.1 peratus manakala empangan Mengkuang pula berada pada paras 90.1 peratus.

Usaha meningkatkan kapasiti air Air Itam sedang dimuktamadkan selepas kerja pemasangan paip merentasi Sungai Perai disempurnakan.

“Sekarang ini kita perlu pastikan kerja-kerja di Sungai Perai selesai, pada masa sekarang kita belum ambil apa-apa keputusan lagi (berhubung empangan Air Itam).

“Kita pernah syorkan sebelum ini untuk laksanakan pembenihan awan bagi penuhkan semula empangan Air Itam kerana ia adalah langkah yang paling efektif,” katanya.