Amirudin dilabel celaka isu peruntukan, setepek ‘cytro’ PN kena bidas

Ciapan balas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyekolahkan penyokong Perikatan Nasional (PN) berhubung peruntukan pembangkang di negeri itu, mengundang reaksi ramai.

Menerusi tangkap layar tular, seorang individu melabel Amirudin sebagai celaka kerana hanya memberikan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada blok itu, yang bersamaan dengan RM833 sebulan.

Amirudin kemudian membalas pada ciapan itu menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak benar kerana RM50,000 yang diperuntukkan adalah untuk pejabat sahaja.

Dia juga sempat membalas sinis mengatakan Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar Terengganu juga tidak pernah memberi peruntukan pada pembangkang, dan bertanya adakah itu juga dikira celaka?

“Tak betul, RM50,000 itu adalah untuk pejabat sahaja. Nanti Febuari baru keluarkan jumlah yang dipersetujui. Tuan Guru Hadi Awang masa jadi Menteri Besar Terengganu pun satu sen tak bagi pembangkang. Celaka tak dia?,” balas Amirudin.

Ciapan balas tersebut mengundang reaksi ramai selepas ‘cytro PN’ itu selamba kena tapau dengan Amirudin.

“Terasa bodoh. Celaka tak celaka. Tu lah kalau putar tapi tak tahu hujung pangkal.

“Kesian penunggang nak ‘spin’ MB Selangor, tapi terus tercedok diam menghilang,” komen yang lain.