Anugerah pelakon terbaik jatuh kepada Daim

Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ul Haque, lebih dikenali sebagai Zunar menamakan Tun Daim Zainudin sebagai pelakon terbaik selepas hadir berkerusi roda ke mahkamah semalam.

Satira terbaru yang dihasilkan itu memaparkan wajah kartun Daim sambil memegang piala pelakon terbaik dengan tertulis ‘Best actor filem court & berkerusi roda’.

Semalam, Daim, 85, menarik perhatian para media selepas hadir berkerusi roda dengan sut berwarna hitam.

Beliau juga kelihatan seperti tidak bermaya dan tidak bercakap apa-apa ketika dikerumuni pengamal media di lobi mahkamah.

Peguam bagi pihak Daim memberitahu Mahkamah Sesyen semalam bahawa bekas Menteri Kewangan itu bukan sahaja buta sebelah mata, malah diserang penyakit angin ahmar, beberapa tahun lalu.

pelakon terbaik

Peguam, M Puravalen berkata, Daim mengalami masalah kesihatan yang kronik apabila mata kirinya dijangkiti kuman sehingga menyebabkan ia terpaksa dikeluarkan.

Daim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 71 harta miliknya termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Semua harta terbabit antaranya tujuh kereta termasuk Mercedes Benz, Jaguar, Austin Morris dan Rolls Royce; 38 syarikat antaranya Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Menara Ampang Sdn Bhd dan Avillion Berhad, 25 hartanah dan tanah di bawah syarikat di Kuala Lumpur, Ampang, Raub, Pahang dan Kuala Muda Kedah serta akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan meminta untuk dibicarakan.

Beliau juga dibenarkan berada di luar kandang tertuduh sepanjang proses pertuduhan.

Sementara itu, pertuduhan terhadap Daim berikutan ketidakpatuhan terhadap arahan mengisytiharkan harta, mungkin bukan yang terakhir.

Ini susulan terdapat lagi siasatan terhadapnya berkaitan kesalahan lain iaitu salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, siasatan bagi dua jenis kesalahan itu tetap diteruskan walaupun Daim diheret ke mahkamah semalam.

BACA JUGA Amirudin dilabel celaka isu peruntukan, setepek ‘cytro’ PN kena bidas