Apabila Hinduisme dan Hindutva disalahfaham…

Artikel bertajuk ‘Antara Hinduisme dengan Hindutva’ oleh Mohsin Abdullah adalah dirujuk.

Artikel tersebut terikut naratif Barat seperti yang dilaporkan di CNN, Nikkei Asia dengan rujukan Wikipedia.

Penulis berhujah bahawa “Hindutva” adalah cabang politik ekstremisme yang dibawa parti pemerintah India, BJP.

Beliau turut menyatakan ini adalah ekoran perasmian kuil Dewa Ram ekoran peruntuhan Masjid Babri pada 1992.

Beberapa perkara perlu dijelaskan di sini kerana laporan agensi berita antarabangsa dan artikel tersebut hanya melihat satu sudut semata-mata dan adalah tidak menyeluruh.

Maksud perkataan

Pertama, Hinduisme dan Hindutva mempunyai maksud yang sama iaitu pengamalan agama Hindu oleh masyarakat beragama Hindu.

Perkataan ‘Hinduisme’ berakarkan bahasa Inggeris manakala ‘Hindutva’ berakarkan perkataan bahasa Sanskrit.

Untuk pengetahuan pembaca, agama Hindu adalah berasaskan dua bahasa utama iaitu Sanskrit dan Tamil.

Dari sudut definisi sendiri, sudah terang lagi bersuluh, Hinduisme dan Hindutva tidak mempunyai elemen ektremisme.

Kegagalan memahami perkara ini telah menyebabkan rusuhan berlaku di Leicester, United Kingdom yang melibatkan masyarakat Hindu dan Muslim tahun lalu.

Rusuhan tersebut turut merebak ke beberapa bandaraya lain di negara Barat tersebut sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Perasmian kuil, bukti arkeologi

Kedua, berhubung perasmian kuil Dewa Rama yang berlangsung pada 22 Januari 2024.

Mahkamah di India memberikan keputusan yang memihak kepada masyarakat Hindu dan turut menetapkan lot tanah untuk pembinaan semula masjid sebagai ganti kepada Masjid Babri.

Keputusan dibuat berdasarkan kepada rekod sejarah dan arkeologi yang telah dikemukakan oleh agensi arkeologi India yang terkemuka, Archaeological Survey of India (ASI).

ASI sememangnya terkenal dengan kajian arkeologi di benua Asia Selatan dan turut terlibat dengan pencarian bahan arkeologi di Asia Tenggara.

Berhubung dengan usaha pembinaan semula masjid baru, jawatankuasa tersebut diketuai oleh seorang Muslim yang juga adalah ahli parti BJP.

Masjid baru tersebut yang diberi nama Masjid Muhammad bin Abdullah bukan sahaja menempatkan masjid malah akan mempunyai dewan dan hospital.

Peninggalan penjajah

Ketiga, perkara yang berlaku ini adalah usaha menulis semula sejarah kerana nama Babri adalah berasal dari nama penjajah, Babur seorang maharaja dinasti Mughal.

Ada kata-kata bahasa Inggeris, sejarah ditulis oleh pemenang. Dalam era pasca kolonialisme, kebanyakan negara sememangnya menulis semula sejarah mereka. Jika tidak, tokok pejuang kemerdekaan di kebanyakan negara akan dikenali sebagai pengkhianat.

Dalam kes yang menjadi perbincangan di atas, adakah ini salah masyarakat Hindu atau Muslim? Jelas, ia salah Babur yang meruntuhkan kuil dan menggunakan runtuhan kuil untuk membina Masjid Babri.

Sekularisme terpelihara

Keempat, sekularisme yang diamalkan di India, bukannya di Malaysia, adalah tidak terjejas. Ia adalah selaras dengan apa yang tercatat di dalam Perlembagaan India.

Ada negeri yang mempunyai majoriti masyarakat Islam dan Kristian di negara benua kecil Asia Selatan. Kashmir merupakan negeri majoriti Muslim. Meghalaya merupakan negeri majoriti Kristian.

Adakah masyarakat Muslim terjejas? Ada yang terjejas kerana cubaan melakukan rusuhan dan sabotaj ketika majlis keagamaan Dewa Ram berlangsung. Mereka telah ditahan polis.

Dari segi undang-undang, Akta Tanah Wakaf 1995 membolehkan tanah di sekitar masjid diwakafkan kepada masjid.

Masyarakat Muslim yang mahu menunaikan umrah dan haji tetap menerima diskaun kerana kerajaan pimpinan India membayar sebahagian daripada kos tersebut.

Akta Tempat Beribadat 1991 membolehkan kerajaan mengagihkan semula hasil yang dikutip dari kuil Hindu kepada masjid dan gereja. Ia tidak berlaku kepada hasil derma dan zakat yang dikutip di masjid.

Laporan berat sebelah

Kelima, laporan media. Laporan media sepatutnya memberikan dari semua aspek supaya ianya seimbang. Walau bagaimanapun ini tidak berlaku di dalam konteks laporan media asing yang disebutkan di atas.

Perkara sama turut berlaku dalam laporan seperti BBC dan beberapa laporan media antarabangsa lain. Masyarakat Hindu di negara-negara berkaitan telah pun mempersoalkan etika dan amalan media terbabit.

Malangnya, media di Malaysia juga gagal bertabayyun dalam menghebahkan berita ini.

Sebilangan media asing seperti Reuters pula mempunyai bahagian khas untuk laporan media dari India sedangkan laporan tersebut boleh sahaja dilaporkan di dalam bahagian laporan benua Asia.

Apakah motif mereka di sebalik ini? Hanya Tuhan yang mengetahui niat dan tujuan mereka yang sebenarnya.

Perspektif politik

Keenam, sudut politik. Di kebanyakan negara, parti-parti politik akan mewakili kepentingan masyarakat majoriti. Ia juga berlaku di Malaysia.

Di India sebelum BJP membentuk kerajaan pusat, ia tidak begitu.

Parti Kongres Nasional India (INC) telah membentuk negara tersebut mengamalkan dasar peralahan yang memihak kepada kumpulan minoriti. Penulisan akademik pula didominasi oleh mereka yang berhaluan kiri dan komunis turut membantu dasar tersebut.

Masyarakat majoriti pula ditanamkan sekularisme yang memandang rendah kepada ajaran agama sendiri. Kaedah yang memecahkan undi masyarakat Hindu di India telah digunakan dengan jayanya oleh INC.

Contohnya boleh dilihat dalam filem berbahasa Hindi di mana watak-watak beragama Hindu ditonjolkan membuat amalan agama Islam.

Anda boleh menonton adegan sebegitu dalam filem Kuch Kuch Hota Hai (1998). Terbaru, filem Tamil bertajuk Annapoorani (2023) dihentikan tayangannya di Netflix kerana sebab yang sama.