Biar kerajaan perintah 5 tahun, perubahan hanya rugikan negara

Perkembangan politik semasa yang menyaksikan wujud tindakan pihak tertentu mahu menumbangkan kerajaan sedia ada amat menggusarkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah.

Baginda bertitah, urusan mentadbir kerajaan bukan sesuatu yang mudah dan perubahan yang mahu dilakukan pihak tertentu sebelum tempoh pemerintahan ini berakhir, cukup merugikan negara.

“Saya bukan mahu menidakkan mana-mana parti politik tetapi pengalaman bertukar kerajaan itu satu proses yang cukup merugikan negara,” titah baginda pada sesi bersama media di Istana Negara.

Baginda bertitah, pertukaran Perdana Menteri selama empat tahun di bawah pemerintahannya memberi kenangan sukar diterima.

Titah Tuanku, pertukaran tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia akan rugikan rakyat dan kewangan negara.

“Mengurus kerajaan ini bukan perkara mudah, pertukaran tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ini akan rugikan rakyat dan kewangan negara.

“Kita sudah ada proses demokrasi yang tertulis pada setiap lima tahun rakyat boleh memilih kerajaan melalui pilihan raya.

“Jadi biarlah sekurang-kurangnya kerajaan yang ada ini memerintah mengikut tempoh ditetapkan, bukan sekadar satu atau dua tahun dan kemudian menukar dengan sewenang-wenangnya,” titah baginda.

Spekulasi wujud gerakan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan menerusi ‘Langkah Dubai’ pada bulan lalu, meningkatkan suhu politik negara.

Konspirasi dikatakan dirancang Perikatan Nasional (PN) bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada dengan dakwaan kononnya berjaya mengumpul surat akuan bersumpah (SD) untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga membangkitkan rasa kurang senang rakyat dengan perkembangan politik Malaysia.

Sementara itu Baginda Al-Sultan menzahirkan rasa duka cita sekiranya rakyat masih berpecah belah ketika baginda meninggalkan Istana.

“Saya sudah buat yang terbaik untuk negara sepanjang lima tahun menjadi Yang di-Pertuan Agong, tetapi sedih nak tinggalkan Istana Negara jika rakyat masih berpecah belah,” titah baginda.

BACA JUGA Dari subsidi, kini jadi ‘kewajiban’ Tabung Haji

Â