Daim hasut rakyat lawan Anwar
Oleh NORMAN RADZUAN
Allahyarham Tunku Abdul Rahman dalam nada sedih memberitahu Mahathir telah memburukkan dirinya kepada orang Melayu.
Mahathir menuduh Tunku telah memberi peluang orang Cina berkuasa (sangat sayu mendengar rakaman luahan Tunku terhadap Mahathir).
Kata Tunku dia berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu ini untuk orang Melayu merasai erti kemerdekaan.
Namun, kerana Mahathir menyebarkan ribuan risalah kepada orang Melayu, membuat orang Melayu percaya tuduhan tersebut.
‘Modus operandi’ Mahathir terhadap Anwar kali ini pun sama.
Beliau membangkitkan sentimen Melayu terpinggir sehingga orang Melayu (ahli dan penyokong Pas) diperdayakan untuk turun ke pintu istana kononnya Melayu terancam.
Anak-anak dan kawan-kawannya kaya-raya, rakyat diminta berjemur di tengah panas untuk berdemontrasi dengan menggunakan duit poket sendiri.
Sebenarnya Melayu tidak terancam tetapi keluarga dan dirinya sendiri.
Inilah penipuan seperti dalam artikel saya sebelum ini mengenai kapitalis memperhambakan rakyat berfikiran hamba bagi menutup pengumpulan kekayaannya.
Hari ini Daim Zanuddin memainkan isu yang sama menyuruh rakyat (orang Melayu) bangkit menentang Anwar yang dilabelkan sebagai ‘musang berbulu ayam’.
Apa salah Anwar? Semua kes rasuah SPRM yang dakwa kenapa Anwar dipersalahkan?
Jika begitu tutup sahaja SPRM. Buat akta khas kes rasuah hanyalah kes minta duit tepi jalan dan minta duit perlindungan dengan pendatang haram. Yang lain itu anggap komisen.
Saya bertanya adakah Daim bercakap kepada dirinya sendiri (musang berbulu ayam)?
Isunya mudah, mengapa dirinya tidak sanggup mengisytiharkan puluhan aset perniagaannya bernilai berpuluh bilion ringgit itu?
Mengapa ingin mengheret rakyat dalam soal ini?
Kamu sekeluarga kaya-raya jadi bilionaire tiba-tiba rakyat miskin cuba dihasut untuk diri kamu terlepas.
Kapitalis besar dan kapitalis kecil berada di sekeliling kita. Merekalah yang menghasut tentang bil elektrik, tentang ringgit, cukai, pencen. Semua ini dilakukan demi kepentingan peribadi mereka.
Dalam soal ini, orang Melayu ayuh bersama-sama kerajaan kita lawan korupsi.
Ia bukan soal politik tapi ia soal kepentingan rakyat. Jangan biarkan rakyat jadi benteng kepada kapitalis dan politikus yang hanya mengkayakan diri mereka dan keluarga.