Dari subsidi, kini jadi ‘kewajiban’ Tabung Haji

Oleh AHMAD MURSI

Ibadah Haji wajib bagi yang mampu, tetapi kini kita diajar bahawa kewajipan Tabung Haji (TH) pula untuk istito’ahkan kita. Awalnya sedekah, lama-lama dianggap ‘kewajipan’.

Sejak TH ditubuhkan pada 1963, nenek moyang kita mengerjakan haji apabila tabungan mereka telah cukup.

Selain menabung cara selamat, mereka juga berpeluang menerima dividen berbanding simpan di bawah bantal. Itulah antara asal TH ditubuhkan.

Tahun 2001, kerajaan mula bagi RM500 seorang. Namun selepas itu, jumlah ini mula diambil daripada keuntungan TH.

Pada 2009, bayaran haji dibayar peserta dibekukan pada kadar RM9,980. Kos haji selebihnya diambil daripada keuntungan TH yang sepatutnya menjadi hak pendeposit:

2009 – RM2,623 (21%)
2011 – RM4,360 (30%)
2015 – RM7,290 (42%)
2018 – RM12,470 (55%)
2022 – RM18,652 (62%) – B40
2023 – RM20,944 (63%) – B40

Bermula hanya subsidi 1/5 dari kos, 2022 naik jadi 3/5. 2023 hampir cecah 2/3. Harapnya mufti-mufti teliti hal ini daripada segi hukum.

Kerajaan nak terus popular, maka dibiar keadaan ini. Diumum juga dividen tinggi. BNM pernah tegur TH pada 2015, dividen diagih melebihi keuntungan semasa.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 meletakkan TH di bawah kawal selia BNM yang lebih ketat supaya TH tidak lagi dirosakkan oleh ahli politik.

Soalnya, adilkah keuntungan yang jadi hak pendeposit, tetapi diagihkan kepada 30,000 peserta haji? Jumlahnya RM185 juta pada 2022 dan RM400 juta pada 2023.

Hebat TH ni. Sudahlah saluran pelaburan hanya yang halal, kini ditambah tugas beri subsidi pula.

Dividen pula rakyat nak tinggi kononnya macam ‘dulu-dulu’ yang boleh lawan KWSP dan ASB.

Dalam Islam, kalau tak mampu, tak wajib pun nak tunaikan Haji. Apatah lagi apabila kos semakin tinggi.

Fikiran generasi muda kini disalah asuh bahawa ‘kewajipan’ TH untuk menyediakan subsidi selain dividen kepada pendeposit yang telah sedia berat.

“Sesiapa yang menyatakan idea Ungku Aziz termasuk subsidi itu telah menipu di atas nama beliau,” kata Datuk Nik Hasyudeen bekas CEO TH.