Nak cabut bulu ketiak bagi RM500 tu?’ – Berang trend majlis graduasi di hotel

Seorang wanita berang dengan trend majlis graduasi sekolah di hotel yang menelan ratusan ringgit sekepala sehingga menyebut tentang bulu ketiak.

Adrea Abdullah yang juga pelakon menerusi video di Facebook berkata, terdapat sekolah yang mewajibkan murid menghadiri majlis graduasi itu tanpa berbincang dengan waris terlebih dahulu.

“Bayar RM100, RM150. Itu untuk pelajar saja.

“Kalau keluarga nak datang, tambah lagi RM150. Kalau anak (kena bayar) RM200, bapak RM150, mak RM150, (semua) dah RM500.

“Tau tak? RM250, RM500 tu bukan petik dari langit.

“Ingatkan nak cabut bulu ketiak ke nak bagi RM500 tu. Penat lelah ibu ayah berkerja untuk mencari rezeki,” katanya dalam rakaman yang tular di media sosial.

Beliau berpendapat majlis itu bukan merupakan keperluan memandangkan jumlah perbelanjaan sebanyak itu boleh membeli bahan makanan.

“Benda (majlis graduasi sekolah di hotel) yang tidak patut. Benda itu bukan keperluan.

“Daripada bayar RM500 tu boleh beli barangan runcit untuk dua bulan,” katanya dalam rakaman berdurasi tujuh minit itu.

Dalam masa sama, Adrea turut hairan keputusan pentadbir sekolah yang tidak memilih tempat yang hanya memerlukan modal kecil untuk menganjurkan majlis graduasi.

Wanita itu mempersoalkan sikap pihak sekolah yang tidak memanfaatkan premis pendidikan itu atau dewan komuniti bagi penganjuran program tersebut.

Dia menganggap mungkin sikap mahu bersaing dan menunjuk-nunjuk segelintir sekolah membuatkan ada dalam kalangan ibu bapa termasuk guru tidak selesa dengan keputusan yang dibuat oleh guru besar.

Sehubungan itu, Adrea meminta Kementerian Pendidikan (KPM) untuk masuk campur kerana merasakan penganjuran majlis graduasi di hotel mewah adalah langkah tidak munasabah.

“Ibu bapa juga ada yang merungut kerana anak mereka mesti nak (beli) baju baharu. Itu kena tambah duit lagi.

“Ia sekali gus menjadikan satu tekanan yang tidak perlu (ditanggung ibu bapa).

“Banyak hutang dan ibu bapa banyak komitmen lain yang nak bayar. Jadi, nak keluarkan duit untuk benda tak masuk akal… Subhanallah.

“KPM perlu cakap sesuatu sebab perkara ini tidak munasabah untuk ibu bapa bayar duit untuk anak mereka hadir majlis graduasi,” tegas Adrea lagi.