‘Nak suruh kosongkan kerusi, tunggu saja PRU16’ – Suhaili

Datuk Suhaili Abdul Rahman mencabar Bersatu memecat semua Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Labuan yang digantung keahlian enam tahun oleh Bersatu berkata, tindakan itu boleh dibuat jika merasakan diri hebat.

“Saya nasihatkan kepada pucuk pimpinan Bersatu, kalau rasa hebat sangat, pecatlah kami yang dah isytihar sokong PMX (Perdana Menteri ke-10)

“Nak suruh kosongkan kerusi? Ini memang saya tidak layan lah, tunggu saja PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16),” lapor BH.

Reaksi Suhaili itu susulan langkah terbaharu Bersatu mahu meminda Perlembagaan parti bagi menyekat lebih ramai Ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Anwar.

Beliau antara enam Ahli Parlimen Bersatu yang membuat sokongan terbuka kepada Perdana Menteri.

Alasan mereka adalah memudahkan penerimaan bantuan untuk rakyat di kawasan masing-masing.

“Untuk saya, Bersatu sudah ambil tindakan .., gantung enam tahun, (jadi) nak ambil tindakan apa lagi?,” kata Suhaili lagi.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata parti itu mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat selepas menyokong pentadbiran kerajaan Madani.