Peniaga kecil girang dengan hasil jualan di SIBF23
Buku dan aktiviti berkaitan bukanlah satu-satunya tarikan untuk pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF23) yang diadakan pada awal bulan Disember yang lalu.
Pesta tersebut juga turut “menghidang” pelbagai pilihan usahawan kecil yang menjual produk mereka di Pusat Konvensyen MBSA di Shah Alam.
Antara peniaga kecil yang ada termasuk gerai makanan, gerai menjual beg tote, hadiah, rantai kunci dan ikan hiasan.
Pilihan makanan yang disediakan termasuk kuih tradisional, kekacang dan sandwich serta makanan yang mengenyangkan seperti nasi biryani, nasi ayam bakar dan pelbagai jenis mee. Terdapat juga trak makanan gourmet yang ditawarkan.
Jumlah keseluruhan gerai yang bertapak di SIBF23 adalah 62, termasuk 12 trak makanan.
SIBF23 dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan bermula sebagai Pesta Buku Selangor pada tahun 2006.
Tiga peniaga kecil – tukang roti, penjual kopi dan artis rantai kunci – berkongsi pengalaman mereka di SIBF23.
“Kami amat berterima kasih dengan pihak penganjur kerana mereka menjalankan tugas mereka dengan rasa prihatin dan memudahkan perniagaan kami di pesta buku ini. Mereka menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya dari segi perancangan dan pelaksanaan,” kata Siti Noorikah Mahbob, pemilik Khaliff Bakery yang menjual ban dan roti di pesta tersebut.
“Mereka peka mendengar masalah kami dan mahu setiap peniaga di sini untuk berjaya,” tambah beliau.
Siti Noorikah, yang mengusahakan kedai roti bersama suaminya Mohd Shahrul Azri di Batu Caves, berkata SIBF23 adalah pengalaman perniagaan kedua kali beliau. SIBF22 yang disertai terlebih dahulu adalah sebahagian daripada program negeri Selangor yang diikuti oleh sebarisan usahawan lain.
“Kami tekad untuk menyertai SIBF23 secara peniaga langsung. Kami menyediakan gerai sendiri untuk menjual aneka roti dan ban. Kami mendapat sokongan padu dari tim PPAS. Mereka sangat membantu dalam mengatur setiap perkara yang diperlukan di lokasi ini,” tambah lagi 40-year-old Siti Noorikah.
Beliau berkongsi yang jualan 10-hari di pesta buku adalah “sangat memberangsangkan”.
“Kami meningkatkan pengeluaran kami dan bersedia untuk memenuhi setiap permintaan dengan sebaik-baiknya. Setiap pagi, kami membawa masuk produk yang segar dari kedai roti kami, dan pada penghujung hari, produk kami habis dijual. Para pengunjung memberikan kami sokongan padu.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka sambutan yang begitu hangat daripada pengunjung, tetapi kami pastikan kami bersedia untuk menangani setiap permintaan yang terus meningkat. Roti dan ban kami dibakar segar dan berkualiti. Mungkin itulah sebab pelanggan kami suka membeli roti kami.”
Siti Noorikah berkata beliau bertekad menyertai SIBF24.
“Dan kali ini, kami akan lebih bersedia dengan barisan produk baru. Saya juga ingin meletakkan sasaran jualan lebih tinggi,” ujar beliau dengan senyuman.
Khaliff Bakery adalah antara peniaga yang berjaya meraih keuntungan yang tinggi di SIBF23. Peniaga lain yang turut berjaya adalah penjual kopi Awaludin Jalalus Shuti yang menawarkan Kopi Dua Darjat.
Bancuhan bru berjaya
Awaludin, yang lebih gemar dipanggil nama pendek Awal, bukan sekadar usahawan. Beliau juga aktivis sosial yang mengasaskan organisasi bukan bermotifkan keuntungan yang dipanggil Chow Kit Youth. Niat murni beliau bersama dua kawan lain untuk menjauhkan anak muda Chow Kit daripada masalah sosial.
“SIBF23 membantu saya membiayai program aktivis kami,” kata Awal dengan senyuman lebar.
Jejaka montel berusia 32 tahun itu mengusahakan perniagaan francais Kopi Dua Darjat di Kampung Baru, kawasan bertentangan Chow Kit di Kuala Lumpur, untuk membiayai program aktivis beliau serta menggaji belia Chow Kit.
“Pendapatan kami agak lumayan dengan hanya menjual kopi di SIBF23. Dan saya terus gunakan sebahagian dari hasil untuk menjalankan program baharu untuk belia Chow Kit,” tambah beliau.
Anjuran program pembikinan dan produksi filem itu menarik kira-kira 27 remaja berusia 17 dan ke bawah.
“Ini akan membantu mereka mempelajari kemahiran yang kini boleh mereka kembangkan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan sekiranya mereka tidak cenderung atau mendapat peluang dalam akademik. Untuk ini berlaku, saya mesti berterima kasih kepada penyokong kami di SIBF23.”
Awal berkongsi bahawa beliau tidak menjangka permintaan tinggi untuk kopinya di SIBF23.
“Kami membawa 1,000 cawan untuk tiga hari pertama yang juga hujung minggu tetapi semuanya habis pada hari Jumaat itu sendiri. Sokongan yang kami terima untuk produk kami sangat mengagumkan. Kami ingin kembali untuk SIBF24.”
Beliau memberi kata penghargaan kepada pihak PPAS yang mengiktiraf dan menyokong peniaga dan usahawan kecil di SIBF23.
“Pesta ini benar-benar membantu membuka ruang kepada pemain kecil seperti kami. Tenaga kerja PPAS telah melakukan yang terbaik untuk semua pihak,” tambah beliau.
Bagi artis seni Shamsudin Hashim, SIBF adalah acara yang sempurna untuk perniagaan rantai kuncinya.
“Pesta ini menarik orang ramai, dan kebanyakan yang mengunjung adalah pelajar sekolah yang membeli rantai kunci,” kata usahawan berusia 53 tahun yang juga veteran dalam sektor berniaga di pelbagai acara.
“SIBF23 memang hebat. Peniaga boleh menjana pendapatan. Lokasinya bagus dan pesta ini memang popular. Sepanjang 10 hari pesta ini berlangsung, kami dapat melihat pusuan orang ramai.
“Jelas sekali pihak penganjur telah membuat perancangan terperinci yang membolehkan begitu ramai peniaga membuka gerai di pesta ini. Objektif utama mereka untuk membantu perniagaan kecil memang baik,” jelas beliau sambil menambah beliau
sibuk sepanjang perjalanan pesta dengan kehadiran pengunjung yang besar.
Ketiga-tiga peniaga turut mencadangkan penambahbaikan untuk SIBF24, terutamanya dari segi menambah ruang di antara gerai serta memastikan makanan basah terletak jauh sedikit dari ruang utama.
“Ruang berjalan untuk pengunjung amat sempit kerana dihimpit gerai-gerai di kedua belah dan keadaan menjadi lebih padat dengan limpahan orang ramai. Oleh itu, mereka tidak sempat berhenti atau meluang masa untuk melihat produk yang tersedia,” tambah Samsudin.
Namun, mereka tetap girang menjadi sebahagian dari SIBF23 dan tidak sabar untuk kembali ke SIBF24.