Tiada masalah jika wakil rakyat perlu pilih satu pencen – DAP

DAP bersama-sama kerajaan dalam perubahan skim pencen wakil rakyat seperti dihasratkan Perdana Menteri.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata perubahan terbabit adalah satu cabaran besar kepada kewangan negara.

“Kita (DAP) bersama-sama kerajaan dalam membuat perubahan ini.

“Jadi, sebagai anggota pentadbiran dan pemimpin politik, kita bersedia berkorban. Tiada masalah.

“Saya yakin ini adalah semangat yang kita bawa dalam parti dan dalam kerajaan.

“Apabila kita membuat perubahan yang dilakukan, itu sudah tentu, sebagai pemimpin politik yang baik, kita kena tunjukkan teladan.

“Atas nasihat daripada Perdana Menteri, tiada masalah untuk kita menerima perubahan itu,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya hari ini.

Dalam masa sama, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata, beliau belum layak menerima pencen.

“Saya sendiri belum layak dapat pencen kerana tahun ini saya berumur 47 tahun dan belum lagi tiba tarikh lahir.

“Nak dapat pencen sekurang-kurangnya daripada jawatan itu selepas berusia 50 tahun,” ujarnya.