Dua haiwan ini paling banyak dianiaya

Spesies anjing dan kucing adalah haiwan yang paling banyak dianiaya sepanjang tahun lalu, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang.

Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, sebanyak 265 aduan mengenai isu penganiayaan dan kebajikan haiwan diterima dengan lima kertas siasatan dibuka.

Menurutnya, kesemua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) iaitu menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap mana-mana haiwan.

Beliau menjelaskan, sabit kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, mereka yang bersalah boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara selama tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Antara bentuk penganiayaan yang kita terima berdasarkan laporan adalah dikurung atau dipelihara dalam kandang atau sangkar yang sangat kecil.

“Ada juga haiwan yang diikat di tengah panas iaitu bukan di tempat yang ada perlindungan.

“Selain itu, ada haiwan yang tidak diberi makanan yang secukupnya serta kes-kes seperti mencederakan haiwan.

“Terdapat juga kes haiwan-haiwan ini diracun terutamanya melibatkan anjing-anjing atau kucing-kucing yang terbiar,” katanya.

Saira Banu berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Pembentangan Laporan Penguatkuasaan di Bawah Perundangan JPV Pulau Pinang bagi 2023 di Ibu Pejabat JPV negeri di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam hari ini.