Foto Anwar tahan sebak ketika dakap Al-Sultan Abdullah tuai perhatian

Sekeping foto menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menahan sebak semasa mendakap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menuai perhatian ramai.

Beliau menitiskan air mata ketika mengiringi keberangkatan balik baginda Al-Sultan dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam.

Momen yang jarang dilihat itu mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat, mengenang kembali liku perjuangan pemimpin nombor satu negara itu dalam arena politik.

“Bukan senang nak tengok PMX sebak macam ini. Dia kena balun, kena khianat. Orang maki pun cool sahaja. Tapi yang ini memang lain macam betul”.

Demikian kata salah seorang pengikut di Facebook Anwar.

Melihat kembali beberapa foto masa lalu yang dimuat naik pengguna media sosial, Anwar pernah menangis pada beberapa keadaan termasuk ketika menziarahi ibu tercinta yang meninggal pada 2001.

Ketika itu Anwar masih lagi menjalani hukuman di penjara.

Momen lain menyaksikan Perdana Menteri tidak dapat menahan rasa sedih adalah ketika beliau menghadiri pengebumian sahabat seperjuangannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Di Facebook beliau pula, ramai menitipkan kata-kata semangat dan tidak terlepas turut merasa sebak melihat reaksi Anwar ketika berpelukan dengan baginda Al-Sultan Abdullah.

“Henyaklah macam mana pun, hinalah macam mana pun. Di setiap ucapan tak pernah lihat beliau menangis. Kali terakhir tengok masa ibunya meninggal dunia.

“Kali ni sekali lagi aku lihat beliau menangis, berjuanglah terus wahai pejuang bangsa. Kami sentiasa menyokongmu walau apa yang terjadi. Reformasi!,” komen Shaqira.

“Sebak melihat PMX menangis. Semoga PMX kuat dan sentiasa disayangi rakyat juga diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT,” titip Eita pula.

Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri ke-10 pada November 2022, mengakhiri penantiannya selama 24 tahun sejak digugurkan dari Kabinet dan UMNO pada 1998.

Mengimbau perjalanan panjang Anwar bergelar Perdana Menteri ke-10, tidak dapat dinafikan namanya telah membawa impak cukup besar dalam arena politik negara.

Walaupun pernah terpalit pelbagai kontroversi menggemparkan negara yang menyaksikan dirinya keluar masuk penjara, Anwar tetap menjadi antara figura politik yang disegani terutama dalam kalangan pemimpin dunia.

Anwar pernah berada di puncak kerjaya politiknya semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad namun ketika berada di puncak itu juga, episod paling hitam menghantui dirinya dan keluarga.

BACA JUGA Sultan Johor angkat sumpah Agong, Sultan Perak timbalan

Â