Gara-gara mahu pulangan hampir RM24 juta, nenek rugi RM800,000

Terperdaya dijanjikan pulangan sebanyak AS$5 juta (RM23.65 juta), seorang nenek rugi RM800,000 terjebak dalam pelaburan kripto tidak wujud.

Bekas pekerja sebuah institusi kewangan itu tertarik dengan pelaburan kononnya dikendalikan syarikat dikenali ‘Accerx’ berpangkalan di Hong Kong selepas mengetahuinya melalui Facebook.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, wanita berusia awal 70-an itu melakukan empat transaksi pembayaran berjumlah kira-kira RM800,000.

Pembayaran itu melalui pemindahan wang secara dalam talian, mesin deposit tunai dan kaunter bank ke dua akaun bank atas nama syarikat tidak dikenali pada penghujung bulan ini.

Menerusi kenyataan hari ini, Mancha berkata, nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ‘X-4 Beacon pasaran saham secara automatik selepas menekan pautan diberi.

“Mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita yang kononnya wakil syarikat sebelum diberi penerangan mengenai pelaburan yang menjanjikan keuntungan 20 hingga 30 kali ganda itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa bersetuju membeli beberapa ‘coin’ dalam nilai dolar Amerika Syarikat (AS) secara berperingkat.

Jelasnya, mangsa diberikan ID bagi membolehkannya mengakses laman web untuk membuat pelaburan dan memantau keuntungan.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan kira-kira AS$5 juta.

“Malah, suspek meminta mangsa membuat bayaran cukai berjumlah RM1.2 juta sekiranya ingin mengeluarkan wang pelaburan dan keuntungan itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan kerana menipu dengan cara mendorong supaya harta diserahkan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan tidak kurang setahun atau 10 tahun serta sebatan.