Jenayah seksual di Kelantan naik 26 peratus

Jenayah seksual di Kelantan pada 2023 didapati melambung 26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 249 kes kesalahan seksual dilaporkan berlaku di Kelantan pada tahun lalu manakala terdapat 197 kes pada 2022.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, statistik itu melibatkan kes rogol, sumbang mahram, liwat dan cabul.

Turut termasuk ialah kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

“Pada tahun lalu, sebanyak 115 kes rogol direkodkan, manakala 36 bagi kes cabul, 17 kes sumbang mahram, lapan kes liwat dan 73 kes AKSTK.

“Pada 2022 pula, sebanyak 85 kes rogol direkodkan selain 14 kes sumbang mahram (14), tujuh kes liwat, 32 kes cabul dan 59 kes AKSTK,” jelasnya.

Tahun lalu, kata Zaki, sebanyak 154 kes melibatkan mangsa berusia 16 tahun ke bawah berbanding 117 kes melibatkan usia sama pada 2022.

Tambahnya, sebanyak 78 kes direkodkan bagi kes rogol melibatkan remaja di bawah 16 tahun manakala 61 kes pada 2022.

“Kita sudah melaksanakan pelbagai program termasuk melibatkan pelajar bagi membanteras kegiatan sosial yang memudaratkan,” ujarnya lagi.