Muhyiddin kukuh di dalam Bersatu, satu ilusi?

Apakah dakwaan Bersatu sekadar penyedap mata yang meyakinkan penyokong dan menenangkan lawan di dalam parti? Adakah ia ilusi bagaikan rumah kaca yang tidak boleh dibaling batu?

Timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa bahawa kedudukan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin amat selesa untuk mengemudi parti dalam penggal akan datang.

Ahmad Faizal turut berkata majlis pimpinan tertinggi parti turut menunjukkan seluruh saf kepimpinan teguh di belakang Muhyiddin.

Sejak beberapa hari, timbul ura-ura bahawa terdapat beberapa kem di dalam parti tersebut.

Ura-ura setiausaha parti Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai presiden bukanlah perkara baru.

Sudah berbulan-bulan Hamzah diuar-uarkan berebut dengan ketua PN Selangor Datuk Seri Azmin Ali untuk mendapatkan kerusi nombor satu parti.

Perkara ini timbul semula ekoran dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bulan lalu berkenaan kewujudan pelbagai kem.

Perkara pokok untuk ahli parlimen Bersatu ialah ketiadaan dana peruntukan kawasan.

Dalam keadaan Muhyiddin tidak dapat memberikan dana peruntukan kawasan, bagaimana mungkin ahli-ahli parlimennya akan kekal wala’ kepadanya?

Jika sekalipun ada tentangan terhadap Muhyiddin, beliau mungkin menyingkirkan ahli parlimen Bersatu dari parti setelah pindaan perlembagaan parti dibuat.

Apakah ertinya menjadi pemimpin dalam keadaan di mana Muhyiddin dan kepimpinan parti tidak dapat mengambil keputusan?

Ketidakbolehan Muhyiddin terserlah dalam usaha rundingan pembangkang dengan kerajaan untuk dana peruntukan kawasan.

Sehingga kini, baik rundingan mahupun makluman kepada ahli parlimen Bersatu tidak diberikan.