Pelayan seksi sebagai ‘pelaris’ kedai makan – Ini respons UAI
Memang terdapat peniaga kedai makan mengupah atau menggajikan pelayan seksi sebagai ‘pelaris’ premis mereka.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, itu merupakan perbuatan haram dan berdosa di sisi agama.
Dalam satu sesi soal jawab di sebuah masjid baru-baru ini, UAI berkata, rezeki yang diperolehi hasil menggunakan pelayan seksi sebagai pelaris juga tidak akan berkat.
“Haram menggunakan pelayan-pelayan sehingga terbeliak mata kita (pelanggan) tengok.
“Contohnya, upah perempuan pinggang 43, tetapi disuruh pakai seluar pinggang 27.
“Tubik habis daging (isi badan). Kita asal nak order (pesan) tea o beng (tea o ais), tengok badan (pakaian seksi) terus tukar jadi timun (tembikai) susu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Azhar menegaskan bahawa pelanggan yang datang ke kedai pelayan seksi itu mendapat dosa.
“Pelayan yang dedah aurat pun dapat dosa. Tauke kedai juga akan disoal di akhirat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, hukum menggunakan pelaris adalah harus, tetapi pelaris itu mestilah yang mengikut syarak.
Menurutnya, tiga pelaris yang boleh digunakan oleh peniaga kedai makan untuk menarik pelanggan iaitu sedap, cepat dan murah.
“Itulah tiga pelaris besar terutamanya bagi kedai makan. Ini tidak, tengok gambar tubik (keluar) air liur, tapi bila suap (makan) muntah sebab tak sedap,” ujarnya lagi.