Peluang Malaysia dalam teknologi ketenteraan?

Apakah Malaysia mempunyai peluang dalam teknologi ketenteraan untuk mengubah ekonomi?

Satu perkembangan menarik di dalam konflik Timur Tengah sekarang ialah serangan dron Houthi ke atas kapal laut di Laut Merah yang dipercayai milik Israel.

Dron merujuk kepada pesawat udara tanpa juruterbang yang juga dikenali sebagai UAV. UAV di dalam bahasa Inggeris ialah unmanned aerial vehicle.

Namun begitu, ada perbezaan di antara dron dan UAV. UAV boleh terbang secara bebas manakala dron diterbangkan dengan kawalan jauh.

Apa yang menjadikan serangan Houthi menarik timbul dalam kos.

Pihak Amerika Syarikat dan sekutunya menggunakan peluru berpandu untuk menghentikan serangan dron.

Kos menghasilkan peluru berpandu berbanding dron bagai langit dengan bumi. Dron lebih murah.

Sebuah dron boleh dihasilkan dalam lingkungan beberapa ribu ringgit manakala peluru berpandu berharga beratus ribu.

Menurut Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Malaysia berada di tangga teratas Drone Readiness Index (DRI) 2023.

Di peringkat dunia, Malaysia di tangga 21.

Industri dron mampu menyumbang RM50.71 bilion kepada KDNK negara dan 100,000 pekerjaan menjelang 2030.

Ini selaras Rancangan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022 -2030 (MDTAP30).

Dalam keadaan dunia yang bergolak dan keadaan ekonomi yang masih belum pulih, Malaysia wajar mengambil peluang untuk mengorak langkah dalam industri dron ketenteraan.

Konflik hari ini bukan sahaja di antara Israel-Palestin, Houthi dan Hezbollah. Perang di antara Rusia-Ukraine belum mencapai noktah.

Dalam pada itu, timbul pula krisis di antara Pakistan dan Iran. Tehran telah melancarkan serangan ke atas Balochistan yang merupakan wilayah sempadan Pakistan.

Terdapat juga pergolakan di dalam Balochistan sendiri ekoran masyarakat tempatan di sana yang mahukan kemerdekaan dari Karachi.

Di Asia Timur juga, terdapat pergolakan melibatkan China dan Taiwan kerana China tidak mengiktiraf sempadan laut di antara kedua wilayah tersebut.