Pengampunan Najib: ‘Ada dibincang tapi tunggu kenyataan rasmi’

Isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memang ada dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media hari ini menegaskan semua pihak perlu menunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan.

“Kita tunggu kenyataan rasmi dan ikut proses seterusnya. Kalau tak, ia akan menimbulkan pelbagai reaksi dan bagi saya kita perlu menonjolkan profesionalisme dalam membuat pelaporan.

“Kita ada bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri tetapi perkara khusus mengenai Lembaga Pengampunan itu akan diselaraskan oleh Lembaga Pengampunan mengenai sama ada kenyataan media dan sebagainya,” ujarnya.

Fahmi berkata, beliau sebelum ini sudah meminta semua pihak, khususnya media supaya menunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan.

“Malangnya, saya bertemu dengan wartawan media asing namun bukan saya yang menjadi sumber kononnya menyampaikan maklumat itu tetapi saya minta bantuan kepada semua rakan media, jangan terus membuat kesimpulan.

“Saya sudah nyatakan bahawa kita perlu tunggu kenyataan media. Maka saya minta media dalam dan luar negara untuk kita tunggu kenyataan rasmi,” katanya.

Sejak semalam, hangat diperkatakan tentang pengampunan Najib, dengan ura-ura kononnya anak bekas Perdana Menteri, Tun Razak itu telah diputuskan Lembaga Pengampunan.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang mengesahkan menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu di Istana Negara juga tidak menafikan atau mengiyakan maklumat yang tular.

Sebaliknya, ketika ditemui media, Dr Zaliha hanya memberi komen ringkas, “Tunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan.”