Tawaran pengampunan untuk PATI pulang mulai 1 Mac

Program Repatriasi Migran akan dilaksanakan bermula 1 Mac ini untuk memberi peluang pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan pendakwaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu diputuskan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan hari ini.

Menurutnya, PATI akan dihantar pulang selepas menjelaskan kompaun antara RM300 hingga RM500 mengikut jenis kesalahan imigresen yang dilakukan mereka.

Kesalahan yang dikenakan kompaun adalah memasuki Malaysia tanpa pas (RM500), tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas (RM500) dan melanggar syarat pas (RM300).

“Mereka (PATI) akan dibenarkan pulang setelah mereka bayar kompaun dan mereka akan dikecualikan daripada proses pendakwaan.

“Program ini bersifat pengampunan pulang yang kita akan hebahkan supaya diguna pakai mereka yang terlibat untuk memudahkan penghantaran pulang,” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya hari ini.