Danial kekal Ketua Pemuda AMANAH Selangor, fokus perhebatkan belia

ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda AMANAH Selangor untuk dua penggal berturut-turut.

Danial dalam satu kenyataan berkata, beliau berharap melihat belia Selangor berkembang dengan positif, memiliki peluang dalam pendidikan dan pekerjaan, serta penyertaan dalam pembangunan komuniti.

Beliau menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk organisasi pemuda, agensi kerajaan, dan komuniti setempat dalam usaha menjayakan program dan inisiatif pembangunan pemuda.

“Saya akan bekerjasama dengan pihak industri dan institusi pendidikan untuk menyusun program latihan dan pembangunan kerjaya bagi memastikan pemuda Selangor dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan terkini.

“Melalui kerjasama ini, saya yakin kita dapat mencipta persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan dan pembangunan belia Selangor.

“Selain itu, saya berazam untuk mewujudkan peluang kerjaya yang berbilang lapisan bagi memenuhi pelbagai bakat dan minat belia.

“Ini termasuk membina rangkaian kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan multinasional untuk menawarkan peluang pekerjaan yang berkualiti,” katanya hari ini.

Selain itu kata Danial, beliau akan berusaha memperjuangkan pembangunan infrastruktur pendidikan yang lebih baik, memastikan setiap belia memiliki akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

Melalui usaha bersama dan kerjasama dengan semua pihak, beliau juga yakin dapat membentuk generasi belia Selangor yang tidak hanya berjaya di peringkat kebangsaan tetapi juga di arena antarabangsa.

“Ini adalah langkah penting untuk memastikan masa depan yang cerah dan mampan bagi negeri Selangor yang kita cintai.

“Terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya. Saya bersedia untuk berkhidmat dengan sepenuh hati dan komitmen untuk kebaikan pemuda dan Selangor secara keseluruhannya,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Akaun RM15 juta dibeku: Aman Palestin fail semakan kehakiman