MBJB: permohonan lesen SPA, urut dan refleksologi dibekukan
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membekukan semua permohonan lesen baru perniagaan spa, rawatan atau urutan tradisional dan refleksologi berkuat kuasa hari ini.
Ia antara lain bertujuan untuk mengawal lambakan perniagaan yang disifatkan berisiko tinggi dan sensitif itu dijalankan tanpa unsur mencurigakan.
Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Osman berkata keputusan itu diambil menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan yang bersidang pada 17 Jan lepas itu adalah menyeluruh, termasuk permohonan lesen perniagaan di rumah kedai, bangunan hotel dan kompleks perniagaan atau beli-belah.
“Pembekuan permohonan lesen perniagaan berisiko tinggi dan sensitif ini adalah supaya MBJB membuat perancangan semula serta menjenamakan semula aktiviti perniagaan ini supaya setanding dengan negara-negara maju bersesuaian dengan imej MBJB.
“Sehubungan itu, satu garis panduan berhubung jenis aktiviti perniagaan berkenaan akan dibangunkan dan dikeluarkan oleh MBJB, sebagai panduan untuk pengusaha perniagaan berisiko tinggi dan sensitif ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Portal GeoJB Versi 3.0 Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 Perisytiharan MBJB, di Johor Bahru hari ini, lapor Bernama.
Beliau menambah bahawa permohonan lesen berhubung perniagaan itu yang belum diluluskan sehingga semalam, diberikan status tangguh dengan semakan, sehingga permohonan dibuka semula pada masa akan diumumkan MBJB.
Menurutnya dalam anggaran 15 permohonan lesen perniagaan itu diterima oleh pihaknya setiap bulan sekali gus menjelaskan kawasan pentadbirannya telah mempunyai 151 premis perniagaan yang berlesen setakat ini.
Pihaknya turut mengesan 43 premis perniagaan itu yang didapati melanggar syarat lesen, antaranya beroperasi di zon tidak bersesuaian dan tidak mempunyai lesen, dan kesemuanya telah disita, dedah beliau.
“Sepatutnya zon yang dibenarkan untuk membuka premis urut, spa dan refleksologi ini adalah di pusat beli-belah dan hotel kerana mempunyai waktu operasi yang sesuai.
“Kadar bayaran lesen kekal bagi premis perniagaan tersebut pula hanya RM800 setahun, manakala lesen sementara RM1,400.
“Ramai yang membuat permohonan lesen kerana permintaan tinggi dari segi pelancongan. Tetapi pada masa sama, kita tidak mahu ada aktiviti tidak bermoral berjalan di sebalik premis ini,” katanya.
Beliu turut memberi jaminan bahawa pembekuan permohonan lesen itu tidak melibatkan permohonan bagi tambah lot, tukar nama pemilik syarikat dan pembaruan lesen tahunan.
“Bagi penukaran nama syarikat bagi syarikat yang sama juga, boleh dilakukan tetapi sekiranya bertukar ke syarikat baru melibatkan perubahan di sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), permohonan adalah tidak diterima dan dikira sebagai permohonan baru,” katanya.