Pas tak pernah agresif desak batal konsert semasa jadi kerajaan
Seorang bekas menteri Umno mendakwa Pas ketika berada di dalam kerajaan tidak pernah secara agresif mendesak konsert dibatalkan.
Khairy Jamaluddin berkata, walaupun Pas pernah bantah konsert, ia hanya menyentuh isu itu sekali sahaja ketika berada di dalam kerajaan, iaitu selepas kerajaan membuka semula ekonomi susulan pandemik Covid-19.
Itupun hanya menteri agama sahaja yang bersuara pada waktu itu iaitu Datuk Idris Ahmad yang meminta jumlah konsert dikurangkan.
Namun beliau tetap juga terkejut kerana ingatkan Idris mahu melarang sebarang penganjuran konsert seperti itu.
“Dia cakap kalau boleh kurangkan sikit konsert boleh tak?
“Saya terfikir, ‘Wow!’ Saya menjangka beliau akan kata tiada konsert lagi atau sesuatu seperti itu!,” kata Khairy pada forum “Politics 101: Politics, Policies & Personal Journeys with Khairy Jamaluddin”, memetik FMT.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau merupakan menteri dalam pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pas antara parti yang sering membantah penganjuran konsert di Malaysia, dengan bantahan paling kuat dilihat adalah ketika Kerajaan Perpaduan mentadbir.
Namun Pas menunjukkan sikap berbeza ketika parti itu sendiri berada di dalam kerajaan pada 2020 hingga 2022.
Tidak kedengaran bantahan walaupun ketika itu sebanyak 15 konsert telah diluluskan – membabitkan konsert bintang elektropop kontroversi Billie Elish, dan konsert dari Korea Selatan iaitu Blackpink.
BACA JUGA Akaun RM15 juta dibeku: Aman Palestin fail semakan kehakiman