Bawang merah tempatan: Ini arahan Mohamad kepada MARDI

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diarah untuk memberikan tumpuan yang lebih dan memantau rapat pertumbuhan serta pengeluaran bawang merah MARDI BAW-1.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemantauan itu diperlukan agar maklumat yang diperolehi nanti, dapat membantu pihaknya merangka plan penanaman bawang merah tempatan dalam skala besar.

”Krisis bekalan bawang yang berlaku pada 2020 akibat bencana banjir besar di India telah mengakibatkan kenaikan harga bawang di pasaran lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.

”Saya telah mengarahkan MARDI untuk menjalankan penyelidikan tahun lalu dan kita telah berjaya melancarkan tiga varieti bawang merah MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.

”Alhamdulillah, Jabatan Pertanian Malaysia pada 24 Januari lalu, telah memulakan penanaman bawang merah MARDI BAW-1 di kawasan seluas 1 hektar di Kuala Bikam, Batang Padang, Perak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pertanian (DoA) Datuk Nor Sam Alwi dilapor berkata, langkah itu dilaksana melalui usaha sama strategik kerajaan negeri serta usahawan berpotensi menerusi dua fasa iaitu upskilling atau latihan semula dan pengukuhan.

Menurut beliau, projek upskilling tanaman bawang telah dijalankan pada 24 Januari lalu di kawasan seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai, Perak.

Melalui pemerhatian projek ini, beliau berkata peluasan kawasan baharu akan dilakukan di seluruh negara dan penyampaian teknologi penanaman ini akan dilaksanakan oleh DoA sendiri.

Pada 28 November tahun lalu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani optimis bahawa penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan pihaknya, mampu mengurangkan kebergantungan import bawang negara dalam tempoh lima tahun.

Katanya, strategi kajian yang telah dijalankan adalah melibatkan pembangunan teknologi pengeluaran bawang merah ke arah peningkatan produktiviti, adaptasi tanaman di tanah rendah, pengurangan masalah perosak, penyakit dan kerosakan lepas tuai serta pengukuhan pemasaran.