Pengerusi Bank Rakyat baharu diumum

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak sebagai Pengerusi Bank Rakyat berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata pelantikan itu adalah berdasarkan ciri kepimpinan dan pengalaman luas beliau sepanjang menggalas tugas sebagai Pemangku Pengerusi sejak 1 November 2022 lalu.

“KUSKOP berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau untuk menggalas amanah serta mendukung misi dan visi Bank Rakyat dalam meneruskan sokongan terhadap ekosistem koperasi dan keusahawanan yang progresif selari dengan hasrat Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam hal berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman, berkata Jawatankuasa Pengurusan dan seluruh warga kerja Bank Rakyat mengalu-alukan pelantikan Mohd Irwan sebagai Pengerusi baharu nank berkenaan.

“Menerusi pengalaman luasnya, beliau dapat memimpin pelaksanaan Pelan Perniagaan 2024 dan Pelan Strategik jangka panjang yang meletakkan Bank Rakyat pada landasan tepat untuk mencapai prestasi mampan di samping menyampaikan pengalaman terbaik pelanggan,” katanya.

Irwan yang mempunyai pengalaman lebih daripada 21 tahun dalam bidang litigasi, undang-undang korporat dan syarikat serta pengurusan pematuhan telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada 24 Julai 2020.

Beliau juga menganggotai pelbagai jawatankuasa peringkat Lembaga Pengarah Bank Rakyat.

BACA JUGA Pencarum boleh jadikan caruman KWSP cagaran pinjaman bank