Peranti, aplikasi elak insiden budak tertinggal dalam kereta berulang

Wanita Muda AMANAH (WARDA) menyifatkan inisiatif untuk membangunkan teknologi dan peranti sokongan adalah amat relevan berikutan terdapat kes kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta.

Ketuanya, Masturah Abu Bakar menzahirkan keyakinan bahawa terdapat banyak syarikat pemula berupaya membangunkan aplikasi yang disambungkan dengan peranti fizikal seperti jam dan penjejak pintar.

Beliau berkata, inisiatif untuk membangunkan teknologi itu sangat relevan terutama menyediakan alat untuk membantu ibu bapa khususnya wanita, dalam mengurus anak-anak serta rutin harian yang sangat mencabar.

”Saya membayangkan aplikasi tersebut dapat mengesan pergerakan ibu bapa dari lokasi rumah, pusat jagaan dan tempat kerja serta boleh memberi amaran tentang keberadaan fizikal kanak-kanak.

”Mungkin perlu ditambah penglibatan awam bagi sama-sama memberi perhatian terhadap isu ini. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan pelekat ‘Baby On Board’ yang tidak memakan kos yang tinggi.

”Dengan adanya pelekat itu, masyarakat akan lebih sensitif dalam memastikan tiada anak-anak yang tertinggal di dalam kereta yang akhirnya menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Masturah berkata pihaknya turut menyambut baik inisiatif kempen keselamatan kanak-kanak yang akan dilaksanakan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari.

Beliau berkata, merangka pelbagai strategi bertujuan untuk menangani isu ini termasuk menerusi perubahan tingkah laku dan kempen kesedaran, merupakan sesuatu yang amat diperlukan.

”Tidak dinafikan pembuat dasar perlu menggali punca yang melatari isu ini kerana kes yang kita lihat hanyalah simptom kepada isu yang lebih besar seperti beban berganda dan kemiskinan masa bagi wanita, kesihatan mental, ‘fixed working arrangements’ dan sebagainya.

”Secara asasnya, kita perlu menggiatkan kesedaran ibu bapa untuk mengubah tingkah laku mereka menerusi bantuan teknologi atau strategi lain yang boleh menyelamatkan nyawa kanak-kanak,” ujar beliau lagi.

Pada 6 Oktober tahun lalu, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas tertinggal kira-kira 10 jam di dalam kereta ibunya di kawasan parkir kenderaan sebuah hospital di Cheras.

Dalam bulan yang sama, negara sekali lagi dikejutkan dengan kematian seorang bayi perempuan berusia 16 bulan setelah ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta bapanya.

Bayi itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan yang diletak di kawasan parkir sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kuala Nerus, Terengganu.

Terbaharu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pula dilaporkan maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya yang diparkir berdekatan pintu belakang sebuah hospital di Shah Alam, kelmarin.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa dipercayai ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta selepas mangsa diambil dari sebuah Taska berdekatan tempat kejadian sekitar jam 2 petang.

Â