Sah, hukuman penjara Najib dikurangkan 50%

Sah. Hukuman penjara ke atas Datuk Seri Najib Razak telah dikurangkan sebanyak 50 peratus oleh Lembaga Pengampunan.

Hukuman penjara beliau dikurangkan kepada enam tahun dari 12 tahun yang dijatuhkan oleh mahkamah.

Ekoran itu, Najib dijangka akan dibebaskan pada Ogos 2028.

Denda RM210 juta pula dikurangkan kepada RM50 juta, kata kenyataan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataannya petang ini.

Sebelum ini, sebuah media melaporkan Najib telah mendapat pengampunan penuh namun berita itu telah ditarik balik oleh media berkenaan dan memohon maaf.

CNA, agensi berita dari Singapura pula melaporkan, Najib mendapat pengampunan separuh dari hukuman penjaranya.

Pada 23 Ogos 2022 lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam penghakiman setebal 15 muka surat itu, beliau berkata, susulan keengganan pihak pembelaan untuk memfailkan sebarang hujahan, panel tiada pilihan lain selain memberi fokus kepada 94 alasan rayuan yang difailkan melalui petisyen sebelum ini.

“Pertamanya Mahkamah Rayuan tepat berdasarkan fakta dan undang-undang dalam memutuskan bahawa Hakim Bicara Mahkamah Tinggi tepat dalam menentukan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan.

“Keduanya, Mahkamah Rayuan tepat berdasarkan fakta dan undang-undang dalam memutuskan bahawa Hakim Bicara Mahkamah Tinggi telah melihat kesemua kes pembelaan,” katanya lagi.