Tawan pengundi di Kelantan, ini jawapan Pengerusi UMNO negeri

UMNO Kelantan akan tampil dengan idea dan pendekatan baharu dalam usaha untuk menarik sokongan rakyat di negeri tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia berikutan parti tersebut ditolak oleh rakyat negeri Kelantan, sejak 30 tahun lalu.

”Jika idea lama itu bagus, ia juga akan digunakan.

“Oleh itu, Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang melibatkan parti-parti gabungan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH,) menjadi platform bagi membincangkan mengenai hala tuju PRU16,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurut Ahmad Jazlan lagi, segala hasil konvensyen akan dirangka untuk menyediakan rancangan lebih baik bagi ditawarkan kepada rakyat di negeri itu.

Beliau berkata, meskipun ada pihak mengatakan Kelantan sukar ditawan, namun dalam dunia politik sebarang kemungkinan boleh berlaku.

”Lihat sahaja contoh UMNO dan BN yang mentadbir negara selama 60 tahun boleh tumbang pada PRU14 yang lalu.

“Saya yakin rakyat akan kembali bersama kita menerusi gabungan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau lagi.

Â