‘Tunggu pengumuman’ – PM
Perdana Menteri memaklumkan bahawa Lembaga Pengampunan sudah mempunyai keputusan berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat.
“Sudah ada kepastian (pengampunan Datuk Seri Najib).
“Tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan Diraja,” ujarnya.
Anwar berkata demikian kepada media selepas makan tengahari bersama rakyat di Medan Selera Kompleks Pertama, Kuala Lumpur hari ini.
Anwar turut berkata, hal tersebut merupakan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan, apabila ditanya sama ada keputusan itu akan menjejaskan reputasi Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
“Itu bawah Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan tidak akan mengumumkan keputusan itu, sebaliknya ia bakal dibuat sendiri Lembaga Pengampunan.
“(Itu) urusan Lembaga Pengampunan, tunggu.. sudah ada kepastian (keputusannya).
“Tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan,” katanya ringkas ketika ditemui media.
Selepas makan tengahari di Gerai Makan Kompleks Pertama, beliau kemudiannya beredar menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.
Najib pada Julai 2020 dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Baru-baru ini, media Singapura melaporkan hukuman penjara dihadapi Najib itu dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat pada 29 Januari lalu.
Laporan yang memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan itu mendakwa, keputusan Lembaga Pengampunan itu yang diketuai Yang di-Pertuan Agong juga termasuk pengurangan denda RM210 juta (AS$44.4 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan.
BACA JUGA Mahasiswa PKR rayu Lembaga Pengampunan tolak permohonan Najib