AMANAH kecam serangan balas Joe Biden ke atas Syria, Iraq
AMANAH menyelar tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden susulan serangan bom ke atas Syria dan Iraq.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Biden tanpa berlengah membuat serangan balas apabila tiga tentera AS terkorban didakwa perbuatan kumpulan pro kepada Iran.
“Baru berlaku tiga kematian tentera AS di Jordan, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan yang pro kepada Iran.
“Maka tanpa berlengah Biden membalas kematian tersebut dengan melakukan serangan bom ke atas lebih 60 tempat di Syria dan Iraq,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohamad, majoriti negara Arab hanya berpeluk tubuh dan tidak peduli langsung apabila umat Islam, umat Arab Palestin dibunuh setiap hari oleh tentera Zionis Israel yang sehingga kini mencecah hampir 30,000 kematian.
“Lebih 70 peratus mangsa yang terkorban terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, tetapi malangnya pemimpin-pemimpin negara Arab ini tidak mempunyai maruah seperti bos mereka, iaitu AS,” bidas beliau lagi.
Semalam, AS melancarkan serangan udara balas di Iraq dan Syria terhadap lebih 85 sasaran yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dan kumpulan pejuang yang disokong mereka.
Tentera AS dalam kenyataan berkata, serangan itu mengenai sasaran termasuk pusat arahan dan kawalan, roket, peluru berpandu dan kemudahan penyimpanan dron serta kemudahan rantaian bekalan logistik dan peluru.
Katanya, serangan lebih 85 sasaran itu merangkumi tujuh lokasi dengan lebih 125 peluru termasuk penggunaan pengebom jarak jauh yang diterbangkan dari AS.
BACA JUGA Selepas bunuh lebih 21,000 orang, Israel tarik balik ribuan tentera