MAIM-YADIM gesa bela Palestin, gantung keahlian Israel dalam PBB

Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menggesa semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini, meningkatkan gerak kerja bagi mengangkat isu Palestin dengan bersungguh-sungguh.

Dalam satu kenyataan, mereka turut menyarankan rakyat dan kerajaan bekerjasama memperkukuhkan pendirian dan tindakan membela Palestin sehingga mencapai hak dan kemerdekaan negara Palestin yang berdaulat.

”Kami menzahirkan bantahan keras terhadap jenayah genosid dan jenayah perang yang berterusan dilancarkan dari 7 Oktober 2023 sehingga ke hari ini yang sudah menjangkau 121 hari tanpa henti oleh zionis Israel.

”Kesengsaraan di Gaza terlalu mengerikan. Keganasan Israel atas alasan hak mempertahankan diri sudah tidak boleh diterima.

”Oleh itu, kami menyarankan supaya membantu mangsa keganasan di Gaza untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti makanan, ubat-ubatan, perlindungan, air minuman termasuk membawa pesakit yang cedera mendapatkan rawatan di Malaysia.

”Kutipan Tabung Kemanusiaan untuk Gaza juga perlu diselaraskan secara telus bagi memastikan bantuan sampai ke Gaza,” katanya hari ini.

Dalam kenyataan sama, MAIM-YADIM mencadangkan agar menggantung keahlian Israel dalam pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) jika Israel ingkar arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan PBB dalam isu Gaza demi menjaga kredibiliti PBB.

”Walaupun Israel sepatutnya telah lebih lama digantung keahliannya kerana dasar aparteid, penghapusan etnik dan jenayah genosid yang diamalkannya.

”Kami juga menyarankan agar menyokong tindakan mendakwa zionis Israel ke (ICJ dan memastikan hukuman yang diputuskan, dikuat kuasakan.

”Kempen memboikot barangan dan perkhidmatan pro Israel perlu dilancarkan dengan berkesan dan dicadangkan mengadakan perhimpunan aman untuk menggembleng masyarakat di negara ini agar suara bantahan terus diketengahkan tanpa henti ke peringkat antarabangsa,” ujar mereka lagi.

BACA JUGA Selepas bunuh lebih 21,000 orang, Israel tarik balik ribuan tentera

Â