Pengurangan hukuman Najib: Jangan salah komen sampai…
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi peringatan kepada semua pihak agar berhati-hati dalam memberi komen berkaitan isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
”Saya beri peringatan kepada semua.. janganlah kita sehingga berlaku pelanggaran undang-undang, adab dan juga tatasusila. Jangan menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
”Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh mengambil tindakan jika ada mana-mana pihak yang cuba ‘menguji’.
”Jadi saya pohon kepada semua supaya kita cakna dan berwaspada. Jangan sehingga tindakan diambil,” tegas Fahmi lapor media ketika ditemui sempena Program Jiwa Madani, di Felda Bukit Goh, Kuantan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memohon semua pihak agar menghormati keputusan berkaitan pengampunan Najib semalam.
”Ini adalah kuasa Tuanku dan tidak boleh dipersoal di mahkamah. Telah diputuskan dalam beberapa kes, ia tidak boleh dipersoal di mahkamah.
”Kalau di mahkamah tidak boleh dipersoal, saya mohon supaya kita hormatilah keputusan tersebut.
”Tetapi dalam masa sama, ada beberapa perkara yang boleh kita teliti termasuk Lembaga Parol, termasuk juga nanti permohonan baharu contohnya kepada Lembaga Pengampunan,” ujar beliau lagi.
Semalam, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Selain tarikh pembebasan awal, urusetia lembaga itu turut mengumumkan denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
BACA JUGA: PMX tak patut dipersalah, kuasa pengampunan hanya pada Agong