PMX tak patut dipersalah, kuasa pengampunan hanya pada Agong

Oleh NORMAN RADZUAN

Kes pengampunan Najib seperti dijangka mengundang reaksi pelbagai pihak. Saya telah jangkakan ia akan memberi implikasi besar kepada kerajaan Madani kerana masyarakat ramai tidak faham proses Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu.

Saya tidak terkejut dengan keputusan itu. Begitulah juga saya tidak terkejut dengan reaksi dari pembangkang dan penyokong mantan Perdana Menteri itu.

Pembangkang seperti dijangka akan menuding jari kepada PMX. Malah Dr Zaliha juga menerima tempiasnya.

Saya pasti Syed Saddiq faham tetapi sengaja buat-buat tidak faham apabila meminta Dr Zaliha letak jawatan.

Apa kena-mengena Dr Zaliha dengan keputusan yang dibuat oleh Ke Bawah Duli Tuanku. Ku sangka Syed Saddiq ini bijak, rupanya tiada bezanya dia dengan Wan Fasyhal.

Maka bertalu-talu reaksi serangan pembangkang. Yang pemimpin meracuni rakyat dan yang rakyat tidak tahu proses Lembaga Pengampunan berjalan mula memaki hamun PMX.

Kita lihat bagaimana kuasa Yang Di Pertuan Agong Perkara 42:

(1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.

Dalam kes Najib sebagai pesalah, dia mempunyai hak untuk menjalani proses rayuan.

Bermula di Mahkamah Rayuan jika gagal ke Mahkamah Tinggi dan jika masih gagal dalam rayuan, Najib boleh fail dayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Ketiga-tiga proses itu telah Najib lalui dan dia mempunyai satu lagi peluang atau boleh diibaratkan sebagai talian hayat dengan membuat petisyen untuk mendapatkan pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa memberi ampun, tunda hukuman atau lega hukuman.

Proses rayuan kepada Lembaga Pengampunan adalah hak setiap individu yang disabitkan dengan kesalahan untuk membuat rayuan kepada Raja.

Jadi, itu hak Najib dan PMX atau kerajaan tidak boleh menghalangnya.

Najib bukan ahli politik pertama pernah mendapat pengampunan kerana Datuk Seri Anwar, Datuk Harun Idris dan Datuk Mokhtar Hashim juga pernah mendapat pembebasan sedemikian.

Contohnya dalam kes DS Anwar beliau dibebaskan bukan kerana Mahathir seperti didakwa tetapi kuasa Agong sendiri apabila petisyen dihantar kepada baginda.

Sepatutnya, semua pihak menjaga adab kerahsiaan kerana Lembaga Pengampunan Diraja ini diketuai oleh Agong dan pemimpin tertinggi di Malaysia.

Menteri Komunikasi apabila diminta apa keputusan Lembaga Pengampunan, beliau menjawab tidak boleh beritahu walaupun dengan mereka yang rapat dengan dirinya.

Katanya ringkas, “Saya telah mengangkat sumpah simpan rahsia.”

Ramai pihak terkejut apabila mendapati isu ini disensasikan sedangkan proses mesyuarat pengampunan ini cukup rahsia dan teratur seperti lazimnya.

Kuasa pengampunan hanya pada Agong

Yang mengecewakan apabila penyokong ‘Bos Ku’ juga menyerang PMX. Mereka seolah-olah menyalahkan Perdana Menteri kerana tidak melepaskan Najib Razak.

Padahal, kuasa pengampunan itu pada Tuanku, bukan pada Lembaga Penasihat, Perdana Menteri, Menteri mahu pun Kabinet.

Bersyukurlah mantan Perdana Menteri itu mendapat potongan 50 peratus iaitu penjara daripada 12 tahun hanya tinggal 6 tahun.

Pandangan peribadi saya andai kata Najib dilepaskan begitu sahaja ia akan membuatkan politik negara kembali bergolak.

Bukan pembangkang sahaja tetapi rakyat keseluruhannya hilang kepercayaan kepada undang-undang negara.

Barangkali di situ pertimbangan Agong dalam keputusan baginda. Baginda pasti telah memperhalusi sebaik-baiknya segala keputusan itu tidak akan membuat politik negara kembali berkocak.

Untuk Kerajaan Perpaduan atau pimpinan PMX pula akan dilihat tiada bezanya dengan kerajaan terdahulu. Malah, akan difitnah mencampuri urusan undang-undang negara.

Kesan politik kepada PMX sendiri, reformasi yang cuba dilakukan akan terencat malah diragui oleh kawan dan lawan.

Malah, kerana isu Najib dahulu mendapat liputan meluas di seluruh dunia pastinya akan memberikan implikasi besar kepada pelabur yang akan kembali tawar hati membuat pelaburan di negara ini.

Mengakhiri penulisan ini, saya melihat keputusan Baginda sangat tepat dan adil untuk semua. Tiada siapa menang atau kalah.

Yang lebih penting penyokong ‘Bos ku’ perlu fokus untuk keyakinan rakyat. Kes 1MDB yang telah mencalar imej parti keramat ini perlu bangkit semula.

Jangan salahkan sesiapa. UMNO tewas teruk dalam dua pilihan raya sebelum ini, DAP tidak bersama mereka.

Ia bukan isu bersama dengan PH atau tidak tetapi bagaimana mereka ingin memulihkan keyakinan orang Melayu yang menolak parti ini sejak 2018 lagi.

UMNO kena ambil peluang sebagai sebahagian daripada kerajaan dengan kuasa yang ada untuk mereformasikan negara dan parti. Ia tentang masa depan negara dan parti bukan individu yang datang dan pergi.

Kita kena fokus dalam reformasi negara. Ini adalah harapan rakyat selepas negara kita mengalami krisis ekonomi sehingga berhutang sebanyak RM1.5 trilion akibat pengurusan negara yang lemah dan korup.