Ramai pilih PATI, ‘scammer’ selepas menteri buka undian

Ramai meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi keutamaan terhadap usaha membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah scam.

Desakan itu disuarakan menerusi undian di laman X oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

“Kebetulan saya agak free hari ni, jom bantu saya undi jap.

“Ini antara fokus KDN tahun 2024, cuma dari kaca mata Tuan/Puan, apa yang menjadi keutamaan?” katanya di laman X.

Sebanyak 10,000 undian diterima dengan 60.6% memilih PATI diikuti 23.7% ‘scammer’.

Sementara itu, isu berkaitan kewarganegaraan dan dadah masing-masing meraih 9.5% dan 6.1% undian.

Pengundi yang memilih PATI turut meninggalkan komentar kewajaran isu tersebut patut paling diberi keutamaan KDN.

“Kenapa PATI? Dari PATI inilah akan merebak jadi scammer, pengedar dadah dan beli IC (baca projek IC).

“PATI keutamaan tertinggi. Lihat sahaja semua video yang disiarkan oleh rakyat Malaysia di YouTube.

“PATI semakin rakus mengambil alih peluang perniagaan di bumi Malaysia sekarang terutamanya orang Rohingya, Bangladesh, Pakistan, Afrika. Anak-anak Melayu kita pun mudah sangat kahwin dengan mereka.

“PATI masalah utama dan dah berakar umbi. Ada sampai dah jadi tauke, miliki bisnes dan tanah lagi sebab kahwin warga tempatan, ada juga yang dah beranak pinak.

“Di Sabah, Sarawak isu tiada status warganegara sampai tak boleh beza dengan PATI. Belum masuk lagi isu korupsi dan jenayah mereka lagi,” demikian antara pendapat warga maya.

BACA JUGA Gelar agensi kerajaan ‘barua’, Saifuddin beri peringatan keras pada Sanusi