Gaji bukan faktor utama polis terlibat rasuah

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata berkata gaji bukan faktor utama yang menyebabkan anggota polis terlibat dalam rasuah.

“Memang ada disebut berkaitan kadar gaji yang rendah, itu sebenarnya salah satu faktor, kalau banding dengan Singapura memang gaji mereka tinggi, polis mereka tiada rasuah, itu mengikut negara mereka yang kecil.

“Sebaliknya di Malaysia, kita mempunyai 137,000 anggota serta pegawai dan akan bertambah menjadi lebih 140,000 kalau dicampur dengan kemasukan baharu pada tahun ini, itu salah satu darinya,” katanya dalam sidang akhbar ketika program Walkabout Pencegahan Jenayah di Pasar Pandamaran.

Gaji anggota polis turut berbeza dari segi taraf kehidupan mengikut kawasan mereka ditempatkan, katanya.

“Duduk di Kuala Lumpur memang miskin bandar, tapi kalau dia duduk di kawasan seperti Belaga, Beluran, Besut, Kuala Nerang serta kawasan-kawasan luar bandar gaji itu banyak, dan dapat elaun lagi iaitu elaun kesusahan, jadi soal gaji itu salah satu faktor,” katanya.

“Kalau kata gaji konstabel ini sedikit dan dia terlibat dengan rasuah, saya boleh bagi peratusan berapa yang terlibat dengan rasuah ini, tapi kita biasa dengar berita ada pengarah syarikat atau mana-mana agensi ada ditangkap berkaitan rasuah, dan adakah mereka ini gaji sedikit.

“Itu saya katakan, sekiranya kita katakan soal gaji jadi faktor seharusnya kita perlu beri pendedahan maklumat kepada pegawai dan anggota agar menolak rasuah.”

Â